Cukai Pelancongan Dilaksanakan Pada 1 Julai Ini Kata Nazri Aziz

0
105

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Cukai…. Pelaksanaan Cukai Pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam, akan tetap diteruskan mulai 1 Julai ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau sekali gus menolak laporan sebuah portal berita bahawa pelaksanaan cukai berkenaan mungkin ditangguhkan.

“Warta (Cukai Pelancongan) ini automatik, mengikut prosedur negara apabila dilulus oleh Parlimen maka pewartaan itu automatik…jadi yang berkuasa dalam melakukan undang-undang ialan Parlimen dan pewartaan itu hanya formaliti saja.

“Kalau nak kata belum warta, itu betul, tapi bukan boleh menghalang kehendak anggota Parlimen kita yang telah sebulat suara meluluskan kerana cukai ini akan dilaksanakan, dan pasti akan dilaksanakan. Jadi sasaran kita ialah 1 Julai,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan ‘Perfect China Seminar – The New Beginning’ malam tadi.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu berkata pelaksanaan kutipan cukai akan mula dikenakan terhadap hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.

Pada sidang Parlimen yang lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017, yang dibentangkan Mohamed Nazri, diluluskan dengan undian majoriti.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Mohamed Nazri berkata Cukai Pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan bermalam bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60 peratus.

Terdahulu, berucap di hadapan 3,500 perwakilan Perfect China dari China, Mohamed Nazri berkata  menganjurkan acara di Malaysia adalah selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk meletakkan negara ini sebagai hab pilihan acara berkaitan perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

“Malah, semua delegasi Perfect China kini adalah duta pelancongan Malaysia. Kami berharap anda akan menggunakan sepenuhnya lawatan ini dan merasai pengalaman keajaiban di Malaysia dan membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negara ini,” kata menteri berkenaan.

Beliau berkata sepanjang 23 tahun penubuhan Perfect China, ia telah melaksanakan lebih 80 insentif lawatan ke luar negara dan sejak 2011 telah menganjurkan program seumpama itu ke Malaysia. – WD MY