PUTRAJAYA, 28 Jun – Daftar PATI Sebelum Khamis…… Kerajaan mengingatkan majikan yang menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI) di negara ini supaya segera menyertai Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang akan tamat Khamis ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini, berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/ 63 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.

“Pada masa yang sama, mana-mana majikan yang mengambil pekerja lebih daripada lima orang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan,” katanya dalam satu kenyataan.

KDN memaklumkan, permohonan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI yang mula dilaksanakan sejak 15 Februari lalu hanya boleh dilakukan secara atas talian melalui portal rehiring.imi.gov.my.

“Berdasarkan penilaian terhadap prestasi program ini, kerajaan sudah mengambil inisiatif bagi menambah baik syarat dan proses pendaftaran dari semasa ke semasa untuk menarik lebih ramai PATI dan majikan mendaftar,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY