PORT DICKSON, 20 Mei – Gesaan….. Pihak Jabatan Imigresen meminta majikan yang menggaji pendatang tanpa izin (PATI) supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftarkan pekerja mereka melalui program E-Kad.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata program ini bermula pada 15 Februari lalu dan akan tamat pada 30 Jun ini.

Seramai 93,473 PATI didaftarkan dan sebanyak 85,467 E-Kad dikeluarkan, manakala jumlah majikan mendaftar sebanyak 14,541.

“Bagaimanapun, masih ramai majikan belum mendaftarkan pekerja PATI mereka dalam program E-Kad dan ada yang menunggu saat akhir untuk berbuat demikian,” katanya dalam sidang media selepas perbarisan tamat latihan Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 2 di Akademi Imigresen Malaysia di sini, hari ini.

Mustafar berkata, program E-Kad diperkenalkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengeluarkan kad sementara bagi membolehkan majikan yang menggaji PATI membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah.

Beliau mengingatkan majikan bahawa sepanjang tempoh pendaftaran E-Kad, operasi penguatkuasaan terus dijalankan dan majikan yang degil boleh dikenakan tindakan tegas.

Majikan yang dikesan menggaji PATI boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. – WD MY