PUTRAJAYA, 19 Feb – UNDI POS…. Warga Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih dan termasuk dalam kategori Pengundi Pos Dalam Negara ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), boleh memohon undi pos mulai hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata kategori mereka yang layak memohon mengundi melalui pos adalah yang disahkan oleh majikan dan perlu bertugas pada hari mengundi.

“Mereka adalah petugas pilihan raya, polis dan tentera (yang tidak dapat hadir mengundi awal), petugas media, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), anggota Jabatan Penjara Malaysia, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta anggota dan petugas Jabatan Kesihatan (hospital dan klinik kerajaan saja).

“Turut tersenarai anggota Sukarelawan Polis, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), anggota Jabatan Imigresen, anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang berada dalam kategori petugas pilihan raya, polis dan tentera (yang tidak dapat hadir mengundi awal) serta petugas media boleh memohon kemudahan mengundi melalui pos menggunakan Borang 1A.

Katanya, mereka yang termasuk dalam kategori seterusnya boleh memohon dengan menggunakan Borang 1C.

“SPR sudah memuat naik Borang 1A dan Borang 1C pada laman web suruhanjaya ini di alamat www.spr.gov.my.

“Garis panduan untuk mengisi borang berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman web berkenaan,” katanya.

Mohd Hashim berkata, permohonan melalui Borang 1A yang sudah diisi lengkap perlu dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus di Bahagian Pilihan Raya masing-masing.

Menurutnya, permohonan melalui borang 1C yang lengkap diisi dihantar ke Ibu Pejabat SPR Putrajaya melalui emel kepada upup@spr.gov.my atau faks ke 03-8881 0424/ 0399/ 0394/ 0386/ 0369 atau pos di alamat Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Menara SPR, No 2 Jalan P2T, Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62100 Putrajaya (up Unit Pengurusan Undi Pos).

Beliau berkata, permohonan untuk mengundi melalui pos dalam negara bagi kategori petugas pilihan raya, polis dan tentera (yang tidak dapat hadir mengundi awal) serta petugas media akan ditutup pada hari penamaan calon manakala kategori seterusnya ditutup lima hari sebelum hari penamaan calon.

“Setiap permohonan yang diterima akan diproses manakala pemohon dimaklumkan oleh SPR mengenai status permohonan mereka itu sama ada diluluskan atau sebaliknya.

“Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88810081 atau emel ke upup@spr.gov.my,” katanya. – WD MY