SHAH ALAM, NOVEMBER 26:  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau akan memperbetulkan kenyataan beliau mengenai kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kenyataan EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerjaan Prihatin itu mungkin terdapat kesalahan tatabahasa yang dikeluarkannya.

“Saya sudah bagi kenyataan. Jangan ada pihak keluarkan kenyataan mengguris yang mampu timbulkan rasa kurang selesa.

“Hal ini kita serahkan kepercayaan sepenuhnya kepada polis supaya mereka dapat menyiasat motif sebenar kejadian ini,” katanya ketika ditemui di lobi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Sebuah portal melaporkan, Ganabatirau melalui laman Facebook (FB) miliknya, mendakwa kejadian rusuhan di kuil terbabit berpunca akibat serangan orang Islam.

Bagaimanapun, kenyataan itu didakwa sudah diubah selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Amirudin berkata, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor memberi jaminan akan melakukan siasatan terperinci terhadap perkara berkenaan selain mengambil tindakan sewajarnya.

Kata beliau, kerajaan negeri mengecam sebarang tindakan biadap yang melampaui batas undang-undang, sekali gus mencetuskan keresahan penduduk setempat dan rakyat negeri ini.

“Saya menggesa semua pihak supaya bertenang serta tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bersifat perkauman, kebencian dan menghasut.

“Merujuk kepada kenyataan oleh Ketua Polis Selangor itu, ia hanya perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak membabitkan unsur perkauman,” katanya.-MY WD