DAKWAAN CULIK PUBLISITI MURAHAN

DAKWAAN CULIK PUBLISITI MURAHAN

176
0

KOTA KINABALU, OGOS 29:PUBLISITI….Mengelirukan, mengundang persepsi negatif dan bertujuan mendapat publisiti murahan daripada penonton.

Demikian ditegaskan Komander Kawasan Ke­selamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berhubung dakwaan pe­lakon Hairul Azreen yang kononnya hampir diculik ketika penggambaran filem di perairan Sabah baru-baru ini.

Beliau menegaskan, dakwaan berkenaan tidak berasas memandangkan lokasi penggambaran filem tersebut di pangkalan hadapan Tun Sharifah Roziah terletak dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), malah pihak berkuasa telah menugaskan Pasukan Khas Laut (Paskal) untuk menjaga keselamatan mereka sepanjang masa.

“Kenyataan pelakon filem ini tidak berasas memandangkan tiada sebarang kejadian seumpama itu yang dilaporkan sepanjang kru filem berkenaan berada di kawasan tersebut yang merupakan kawasan keselamatan Esszone.

“Kenyataan pelakon ini juga amat mengelirukan walaupun ia mungkin hanya gimik promosi filem dan janganlah menggunakannya untuk menarik publisiti murahan bagi menarik minat penonton filem yang dijang­ka ditayangkan pada September depan,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Pelakon tersebut seperti dilaporkan media semalam mendakwa dia hampir diculik lanun ketika penggambaran filem Paskal di perairan Sabah bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, ti­ada sebarang kejadian tidak diingini terjadi dan proses penggambaran juga berjalan dengan lancar.

Ujar Hazani, pelakon tersebut sepatutnya membuat laporan polis agar ada tindakan diambil oleh Esscom bukannya mengeluarkan kenyataan yang hanya mengundang persepsi negatif tentang ke­selamatan di perairan negeri ini.

“Setakat ini rekod menunjukkan tidak ada sebarang kejadian cubaan culik atau penculikan berlaku sepanjang tahun 2017 dan 2018.

“Semua pihak harus berhati-hati dalam membuat kenyataan terutamanya yang melibatkan isu ke­selamatan negara, tindakan undang-undang boleh diambil atas sebab me­nimbulkan kenyataan tidak benar serta mendatangkan kegusaran masyarakat dalam soal ke­selamatan dan ketenteraman awam ter­utama sekali di kawasan Esszone,” tambahnya.-MY WD