KUALA LUMPUR, 7 Feb – DAKWAAN… Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan desas-desus rombakan Kabinet yang dikatakan bakal berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina sebagai isu sengaja dihangatkan pihak tertentu bagi menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR itu berkata perkara terbabit juga sudah dinafikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri hari ini.

“Tun (Dr) Mahathir pun dah jelaskan tidak perlu layan khabar angin ini, saya pun ada berjumpa dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas pembedahan.

“Keadaan semua baik, perkara ini tidak berbangkit pun oleh sesiapa. Ia sengaja dihangatkan untuk menimbulkan ketegangan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada pembukaan Seminar Antarabangsa Pemikiran Islam Semasa dan Reformasi Masyarakat malam tadi.

Anwar berkata demikian mengulas tulisan sebuah blog dua hari lalu, mendakwa Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu selepas Tahun Baharu Cina. – WD MY