JOHOR BAHRU, 7 Jan – Ganti…. Pengerusi FELDA yang baru, Tan Sri Shahrir Abd Samad menyifatkan jika lantikan beliau oleh kerajaan adalah untuk mengembalikan sokongan warga peneroka, ia adalah satu langkah bijak.

Katanya, tiada siapa mahu melihat organisasi itu termasuk negara ini musnah, sebaliknya perlu menyokong dan menyambut baik usaha ke arah kebaikan serta perubahan yang dilakukan.

“Kalau begitu (lantikan baharu untuk pulihkan sokongan rakyat pada kerajaan), bijaklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akhirnya takkan kita nak robohkan serta rosakkan negara?.

“Jika lantikan saya boleh membetulkan keadaan dan membawa kebaikan serta perubahan pada FELDA, sepatutnya ia disambut dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang media khas di Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa beliau menerima dana RM1 juta, Shahrir menegaskan ia adalah satu bentuk hasutan kepada rakyat yang dilemparkan terhadapnya.

“Soal dana RM1 juta ini adalah pemberian daripada pemimpin parti saya bagi tujuan menggantikan duit saya yang digunakan untuk tujuan politik ketika pilihan raya sebelum ini, ia tidak ada kena mengena dengan isu RM2.6 bilion atau Felda.

“Ia soal dana politik dan ini cara kononnya Tun Mahathir mahu membuat rakyat benci saya kerana mendapat RM1 juta, tetapi saya bukan jenis orang yang mencari projek seperti itu. Kalau ini (terima dana politik) bukti saya mahu ‘merompak’ Felda, bagitahulah begitu.

“Dia (Tun Mahathir) tahu saya tak pernah ambil tanah kerajaan ketika saya menjadi menteri bawah kabinetnya,” katanya. – WD MY