BAGAN DATUK, 18 Feb – DANA…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan sumbangan sebanyak RM2 juta untuk dana Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jumlah tersebut menjadikan dana terkumpul sehingga kini sebanyak RM5 juta.

“Selain daripada itu, saya memberikan tanggungjawab kepada Datuk Seri Zulkifli, atas usaha konvoi ini, cari lagi RM5 juta lagi supaya TAWF ini ada RM10 juta untuk program-program polis di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program santai makan tengah hari bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bagan Datuk dan Hilir Perak di Balai Polis Hutan Melintang di sini hari ini.

Dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak memberikan sumbangan kepada TAWP bagi menghargai jasa pesara pegawai dan anggota polis sepanjang perkhidmatan mereka.

“Keamanan itu tidak datang dari langit, ia datang kerana tugas yang cekap daripada pihak polis dan ia memerlukan kerjasama daripada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, berkata selaku daerah baharu, Bagan Datuk diperuntukkan sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) yang akan menyaksikan 280 perjawatan baharu anggota dan pegawai polis untuk ditempatkan di IPD tersebut.

Katanya sebanyak RM138 juta telah diperuntukkan bagi membina IPD Bagan Datuk yang baharu itu dan dijangka siap menjelang 2020.

“Apabila Bagan Datuk telah dinaik taraf kepada daerah, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan memberitahu saya bahawa ada pertambahan jawatan yang telah diberi dan diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid mengetuai konvoi motosikal berkuasa tinggi PDRM bermula dari Tanjung Karang ke Hutan Melintang yang bertujuan mengumpul dana untuk TAWP bersempena Hari Polis ke-211 tahun ini.

Konvoi yang bermula dari Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur itu singgah di Tanjong Karang dan Sungai Besar, Selangor sebelum tiba Hutan Melintang kira-kira 12 tengah hari tadi. – WD MY