KUALA LUMPUR, OGOS 8:KURA-KURA…Jangan menjadi seperti ‘kura-kura yang menyorok kepalanya di dalam cengkerang’ untuk menjawab pendedahan Daniel Twining, anggota Pusat Pengajian Antarabangsa Strategik Amerika Syarikat (CSIS).

Tular di media sosial berhubung pendedahan anggota CSIS, yang mengakui berkomplot dengan pembangkang sejak 2002 bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pendedahan Daniel Twining berhubung dakwaan DAP telah melakukan pengkhianatan kepada kerajaan terdahulu sepatutnya menjadi perdebatan di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini.

“Pengakuan Twining itu merupakan satu perkara yang amat serius dan wajar untuk dibahaskan di Parlimen” kata Noraini yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

“Mengapa sehingga kini kepimpinan DAP masih lagi ambil sikap berdiam diri daripada memberikan sebarang penjelasan atau membuat penafian kepada rakyat berhubung pendedahan Twining ini?,” soalnya menerusi kenyataannya hari ini.

Wanita UMNO melahirkan rasa kesal dengan tindakan membisu DAP dan konco-konconya untuk merungkai persoalan campurtangan asing dalam sistem demokrasi di negara ini biarpun Twining telah mendedahkannya.

Campurtangan menerusi pembiayaan dana tidak boleh dibiarkan kerana selain kedaulatan negara terancam ia berupaya menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan kerajaan termasuk yang diterajui oleh gabungan Pakatan Harapan hari ini.

“Sebelum ini pun, DAP tidak berani untuk menghadapi dan beri penjelasan kepada rakyat mengenai dakwaan parti itu ditawarkan dana AS$300 juta (RM1.2 bilion) dari pihak rejim Israel sekiranya mereka dapat menawan Putrajaya pada PRU ke-13 daripada pemerintahan Barisan Nasional.

“Hakikatnya tuduhan ini begitu besar dan serius yang telah dibuat sendiri oleh Mohamed Razali, bekas pegawai khas Ketua Menteri Pulau Pinang,” ujarnya.

Kegagalan DAP menafikan dakwaan yang dibangkit terhadap parti itu beberapa tahun lepas termasuk memperjelaskan pendedahan Twining akan menyebabkan persoalan mengenai perkara itu tidak terjawab, sekaligus dikhuatiri menimbulkan rasa syak wasangka rakyat terhadap kejujuran DAP.-MY WD