KUALA LUMPUR, JAN 11: CERMIN DIRI…. DAP hanya mempunyai kelebihan dan hak untuk bersuara atau mengkritik sesuka hati sekiranya MIC dan Barisan Nasional (BN) telah kalah 10 Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa akan datang.

Bukan baharu menang sekali pilihan raya dan berkuasa memerintah kerajaan pusat, DAP yang berpuluh-puluh kali gagal dalam mendapat mandat rakyat terus lupa daratan.

Seriuh-riuh mereka menang kuasa, tidak pula mereka gempak dalam menunaikan janji manifesto, sebaliknya masih lagi memainkan peranan sebagai pembangkang, selain tidak henti-henti menanam kebencian serta konflik.

DAP yang baharu memegang tampuk kuasa tidak sampai setahun jagung tetapi bercakap seolah-olah telah menerajui negara selama lebih 60 tahun.

Lantaran itu, lebih baik DAP tutup mulut daripada memalukan diri sendiri kerana lagi banyak bercakap, semakin banyak menyemai kebencian rakyat terhadap BN, parti itu hanya menonjol sikap pembangkangnya secara berterusan.

Sedarilah bahawa zaman itu sudah berlalu, rakyat juga semakin celik.

Itu amaran Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran kepada pemimpin DAP yang tidak habis-habis menyerang MIC dan MCA sejak dahulu hingga ke saat ini demi survival politik.

“Siapa sebenarnya anda untuk memberitahu kami agar parti kami perlu dikuburkan dan perlu ditutup? Apakah jasa yang telah ditaburkan oleh kamu sekelian selama puluhan tahun ini jika hendak dibandingkan oleh kerajaan yang kamu tumbangkan hanya menggunakan ‘air liur basi’?

“Semua orang boleh bercakap, boleh berjanji macam-macam, boleh berbohong tanpa henti sehingga tumbangkan kerajaan yang banyak menabur budi serta perpengalaman luas. Ingat, sampai kini janji manifesto PRU masih lagi dituntut oleh rakyat dan sehingga kini anda terkial-kial memenuhi permintaan itu.

“Sekarang, pandai pula nak suruh kami tutup parti, kuburkan parti. Apa jasa-jasa kamu kepada rakyat sehingga kini? Ramasamy, pandai sungguh bercakap tentang MIC dan sejarahnya. Apa yang kamu telah lakukan untuk rakyat di Pulau Pinang khasnya masyarakat India?

“Kamu semua adalah puak-puak yang pernah dipenjarakan oleh Tun Mahathir satu ketika dahulu, puak-puak yang juga menyemai dan menyemarakkan rasa benci terhadap Tun Mahathir.

“Sekarang kamu juga puak-puak yang sanggup memberikan laluan tanpa sedikit rasa malu, integriti atau moral kerana boleh menerima beliau kembali demi memastikan kelangsungan politik dan kuasa. Malu sikit boleh? Cermin diri itu dulu.

“Sudah lupa bagaimana hampir sebahagian atau kesemua kamu di sumbat dalam penjara oleh Tun Mahathir? Lupa juga kamu bagaimana pelbagai cercaaan, penghinaan dan juga dakwaan skandal dikeluarkan oleh DAP terhadap Tun Mahathir sebelum-sebelum ini? Kini boleh pula peluk-peluk, berciuman.

“Mana pergi moral? Integriti? Mana pergi prinsip dan ketelusan anda? Sudah sorok bawah katil? Cakap biar guna otak, jangan asyik bakar sentimen kebencian. Ini seperti meludah ke langit kena balik tertubi-tubi atas muka sendiri.

“Jadi janganlah memandai tuding jari, cuba sekolahkan kami tentang politik, tentang rakyat, tentang integriti, moral dan macam-macam lagi. Tiada rasa malu dalam diri masing-masing? Tepuk dada tanya selera, wahai Ramasamy,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga seringkali mendesak MCA dibubarkan sahaja kerana sudah tidak relevan tetapi hakikatnya MCA lebih banyak berjasa kepada masyarakat Cina selama ini berbanding DAP yang ‘lebih sudu dari kuah’.

Vigneswaran yang juga Yang Dipertua Dewan Negara mengulas komenter Ramasamy semalam yang mendakwa tindakan MIC melepaskan dua kerusi Parlimen kepada UMNO sama seperti kuburkan sahaja parti tertua masyarakat India itu.

Ramasamy menempelek MIC dengan mendakwa parti itu tidak dapat memainkan peranan perjuangan untuk masyarakat India sebaliknya sentiasa mengharapkan semuanya daripada UMNO selama ini.

P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga mendakwa masa MIC sudah sampai ke penghujung dan tidak sepatutnya mengharapkan parti itu lagi dalam mewakili suara masyarakat India di negara ini.

Bagaimanapun, Vigneswaran berpandangan Ramasamy hanya mencari peluang menaikkan namanya dalam kalangan masyarakat India tanpa melakukan apa-apa selain daripada mencari kesalahan MIC.

“Senang sungguh kerja anda, kritik, kutuk dan tuding jari. Anda bersenang lenang tanpa perlu lakukan apa-apa. Saya hendak tahu, apakah jasa kamu di Pulau Pinang? Apakah benar suara kamu itu di dengari apatah lagi baru-baru ini boleh kalah dalam pilihan raya parti sendiri.

“Ahli parti sendiri pun tidak sokong kamu, kamu bercakap tentang parti MIC yang telah berjasa berpuluh-puluh tahun? Patutnya karier politik kamu yang perlu dikuburkan terlebih dahulu Ramasamy. Sudah lupa diri?

“Cukup-cukuplah, kurangkan bercakap lebihkan bekerja. Sekarang giliran kamu bekerja, kami pula jadi pembangkang. Modus operandi kami adalah cara kamu sebelum ini, jadi ‘semak dan imbang’. Faham atau tidak puak-puak ini, saya tidak tahu,” tegasnya.-MY WD