PORT DICKSON, JAN 7: DAP bimbang Orang Asli kembali menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R Thinalan, berkata BN sudah terbukti berjaya menjaga pengundi di Cameron Highlands dengan menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan serta kemudahan asas.

“Lim Kit Siang yang dalam blognya menyuarakan kebimbangan dengan nasib Orang Asli Cameron Highlands baru-baru ini, dia mendakwa bahawa mereka diabaikan oleh kerajaan BN.

“Satu-satunya perkara yang boleh diperolehi daripada kenyataan veteran DAP ini adalah ketakutan. Dia takut Orang Asli kembali menyokong calon BN.

“Kerajaan BN telah menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan. Ia membantu melalui pelbagai usaha, termasuk membayar dividen untuk ladang kelapa sawit dan menyediakan infrastruktur di penempatan Orang Asli,” kata bekas calon MIC di Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung, Port Dickson itu.

Thinalan berkata, dakwaan DAP bahawa jalan raya ‘roti canai’ yang dibangkitkan dan ditunjukkan mereka ialah jalan di Ladang Boh yang sebenarnya di kawasan persendirian,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Thinalan berkata, Lim Kit Siang sepatutnya memberi tumpuan kepada Deklarasi Gelang Patah yang belum selesai.

Katanya, pemimpin DAP itu perlu mengakui kerajaan BN yang membina 200 rumah untuk penduduk Sungai Ruil, Cameron Highlands sekali gus membolehkan Orang Asli tinggal di situ sejak 2016.

“Saya tidak pasti apa usaha Pakatan Harapan. Bagaimanapun tidak mengejutkan apabila seseorang seperti Lim Kit Siang membuat kenyataan sedemikian kerana dia pandai menyerang dan meremehkan,” katanya.

Calon PH, Manogaran yang sebelum ini kalah dua kali dalam pilihan raya di Cameron Highlands dipilih semula sebagai calon Pakatan Harapan untuk PRK kali ini.-MY WD