KUALA LUMPUR, DISEMBER 21: TINGGALKAN PH…. DAP tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) hari ini jika usaha mencapai tujuan Malaysia Baharu diketepikan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata pemimpin-pemimpin DAP tidak akan menjadikan diri mereka sebagai MCA2 atau seperti pemimpin MCA yang hanya mewakili kaum Cina di Malaysia.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin DAP dalam kerajaan akan memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baharu dan menyelamatkannya daripada kegagalan.

“Pemimpin DAP menjadi kerajaan kerana kita boleh memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baharu dan menyelamatkan Malaysia daripada membuat demokrasi olok-olok, kakistokrasi (pemerintahan paling teruk) dan kleptokrasi global.

“Pemimpin DAP, sama ada di dalam kerajaan atau di luar, tidak akan ragu-ragu meninggalkan kerajaan campuran jika tujuan Malaysia Baharu ditinggalkan.

“Pemimpin-pemimpin DAP tidak akan menjadi seperti pemimpin MCA,” katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya hari ini.-MY WD