KUALA LUMPUR, 23 April – Seru…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepemimpinan UMNO di Kelantan mengukuhkan kedudukan parti dengan melupakan sengketa antara mereka sekali gus menawan negeri itu.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, berkata, kekalahan BN di Kelantan bukan disebabkan kelemahan parti tetapi masalah perpecahan yang berlaku dalam kalangan kepemimpinannya.

“Bersatu hatilah untuk menentukan gelombang merah ini supaya ia dapat membirukan Kelantan

“Kekalahan kita tiga dekad ini bukan kerana kelemahan atau kita tidak kuat tetapi kerana perpecahan sesama kita ,” katanya berucap pada Malam Gelombang Merah anjuran Himpunan Siswazah Kelantan ((HIMSAK) di Menara Berkembar Bank Rakyat malam tadi.

Hadir sama, Penaung HIMSAK, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Zahid turut menamakan Mustapa sebagai tokoh yang sesuai untuk menerajui kepemimpinan bagi menawan semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Mustapa adalah contoh pemimpin yang terbaik dari Kelantan yang disenangi semua pihak.

“Inilah masa yang sesuai… siapa lagi jika bukan Tok Pa. Beliau yang paling sesuai dan ramai kepemimpinan yang lain boleh terus memberikan sokongan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengajak rakyat Kelantan menukar kepemimpinan di negeri itu bagi membolehkan BN berbakti kepada mereka.

Beliau berkata, inilah masa yang sesuai untuk rakyat Kelantan membuat perubahan kepada kepemimpinan negeri itu bagi lima tahun akan datang. – WD MY