KUALA LUMPUR, 14 JULAI – OPERASI…. Tambahan tiga bulan kepada pemandu e-hailing untuk memenuhi syarat operasi menunjukkan kelemahan pelaksanaan dasar mengenainya kerana tidak difikirkan secara teliti oleh agensi berkaitan sehingga menyebabkan masalah kepada peserta industri itu.

Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan, berkata kecelaruan itu berpunca daripada beberapa penambahan dasar yang dilihat tidak bersesuaian dengan perkhidmatan e-hailing, berbeza dengan yang dipersetujui pada peringkat awal oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah dibubarkan dan diganti dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

SPAD pada masa itu katanya, berniat membenarkan pasaran berjalan sendiri dan tidak terlalu mengawal selia kerana sifat industri e-hailing yang dinamik.

Wan Agyl yang juga bekas Ketua Bahagian Perancangan dan Polisi bagi Kumpulan Operasi SPAD berkata, pada awalnya SPAD hanya mengenakan syarat latihan bagi pemilikan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Akan tetapi, ia sudah ditambah kepada keperluan untuk lulus peperiksaan PSV dan menjalani latihan selama enam jam di institut latihan memandu yang tidak pernah dipersetujui sebelum ini.

“Keadaan ini menyukarkan proses transisi pemandu e-hailing untuk memiliki lesen sah. Walaupun syarikat e-hailing dibenar memberi latihan digital, mereka perlu berdaftar dan memenuhi syarat JPJ sebagai institut latihan memandu.

“Setelah latihan dijalankan di syarikat e-hailing, mereka masih perlu ke pejabat JPJ untuk peperiksaan dan lulus sebelum mendapatkan PSV. Hanya ada satu pusat sedemikian di Selangor yang mampu menerima 50 orang pada satu-satu masa,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Wan Agyl berkata, tempoh penangguhan tiga bulan syarat PSV tidak akan mencukupi disebabkan peraturan JPJ. Begitu juga had atas kemampuan agensi tu untuk memenuhi keperluan kira-kira 200,000 pemandu e-hailing bagi mendapatkan lesen PSV, terutama kerana prosedur operasi standard dan sifat kerjanya yang ketat.

Akhbar semalam melaporkan kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan melalui pendekatan soft landing dan mendidik semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat untuk terus beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kementeriannya melalui JPJ akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik seperti diputuskan mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – WD MY