PUTRAJAYA, 5 Feb – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang merupakan satu dasar komprehensif aspek keselamatan dalam negeri, ketenteraman
awam serta ancaman keganasan global.

Beliau berkata matlamat kerajaan memperkenalkan DKDN adalah untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat, aman dan berupaya mempertahankan kepentingan nasional.

“Objektif DKDN adalah untuk menjamin kewujudan Malaysia sebagai sebuah
negara melalui kesepaduan dan ketahanan nasional berteraskan prinsip-prinsip
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“DKDN juga berteraskan amalan-amalan demokrasi ke arah kesatuan nasional,
kedaulatan negara, integrasi wilayah, ketenteraman awam dan kestabilan politik,”
katanya ketika melancarkan buku DKDN pada majlis Amanat Tahun 2016 Kementerian
Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri menjelaskan pelaksana DKDN adalah semua agensi penguat kuasa yang menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam termasuk KDN, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan DKDN, dua jawatankuasa diwujudkan iaitu mesyuarat jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan beliau sendiri dengan anggotanya terdiri daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan menteri yang berkaitan, katanya.

Mesyuarat jawatan kerja pula dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri
Alwi Ibrahim dan ahli-ahli tetap yang terdiri daripada agensi, jabatan KDN,
Jabatan Peguam Negara, MKN dan ATM, kata Ahmad Zahid.

“Mesyuarat ini membincang dan menyelaraskan pelaksanaan tindakan berpandukan
terma rujukan yang ada,” katanya.

DKDN mempunyai lapan teras strategik dan 34 objektif. Antara lapan teras
berkenaan ialah perlindungan dan pengukuhan terhadap insititusi-institusi utama
negara, pemeliharaan keselamatan sempadan negara, perlindungan kesepaduan
sosial dan ketahanan nasional serta pembanterasan ancaman yang mendatangkan
kemudaratan dan menggugat ketenteraman awam. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY