KUALA LUMPUR, 23 ogos – Urusan….. Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun, dua kali sebat denda RM10,000 terhadap ahli perniagaan dikenali ‘Datuk Kabi’, selepas didapati bersalah menipu membabitkan urusan jual beli kereta berjumlah RM85,000, tiga tahun lalu.

Majistret Rahni Kartini Abd Rahim, membuat keputusan itu terhadap tertuduh, C Kamaleshwaran, 38, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam K Thiru, supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin dan menangguhkan hukuman penjara dan sebat, sementara menunggu rayuan serta menaikkan jumlah jaminan RM3,000 kepada RM8,000.

Kamaleshwaran didakwa menipu Noor Azman Saat, 50, dalam urusan jual beli kereta Mercedes Benz E200K, nombor pendaftaran JMN880, dengan membayar sekeping cek bernilai RM85,000 yang tidak dapat ditunaikan.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan kereta miliknya kepada tertuduh di Villa Seren Kiara 6, Sri Hartamas, di sini, pada 25 hingga 29 Oktober 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan. – WD MY