KUANTAN, MAC 13 : DATUK..Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditemui lemas selepas sampan yang dinaiki bersama anak saudaranya terbalik kira-kira tiga kilometer dari Pantai Sungai Ular di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, anak saudaranya terselamat dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu dan mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Sani Harul, berkata mangsa yang dikenali sebagai Datuk Seri Seikh Muhammad Seikh Sadaruddin, 60, ditemui berdekatan dengan tempat sampan berkenaan terbalik.

“Bomba mendapat panggilan kecemasan daripada orang ramai kira-kira jam 9.53 malam sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke tempat kejadian.

“Kita mendapat panggilan memaklumkan terdapat sampan terbalik kira-kira tiga kilometer dari pesisir pantai,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- MY WD