KUALA LUMPUR, 13 Feb – TAHAN….. Datuk yang sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kerana disyaki terbabit penipuan Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia, ditahan reman sekali lagi di IPD Dang Wangi, bermula hari ini.

Kali ini, dia ditahan bagi membantu siasatan satu lagi kes tipu membabitkan kerugian RM600,000.

Suspek yang juga bekas Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad direman tiga hari berhubung laporan mangsa yang dibuat di IPD Dang Wangi, pada April 2014.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata menerusi aduan diterima, mangsa ditawarkan menyertai Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia di Baling, Kedah oleh suspek, pada November 2013.

Suspek meminta mangsa membuat bayaran bon prestasi berjumlah RM600,000 yang kemudian dibayar menerusi bank draf.

“Kerana percaya, mangsa menyerahkan dua keping bank draf bernilai RM200,000 dan RM400,000 kepada suspek, pada 29 November 2013.

“Bagaimanapun, pada Disember 2013, mangsa membuat semakan dengan Pejabat Tanah Daerah Baling dan dimaklumkan bahawa tapak tanah yang dinyatakan suspek adalah milik kerajaan negeri.

“Malah, tiada sebarang permohonan untuk membangunkannya sebagai kawasan perumahan,” katanya ketika dihubungi media.

Shahrudin berkata, mangsa kemudian berjumpa semula dengan suspek dan meminta agar wang dikembalikan.

“Dalam pertemuan itu, suspek berjanji untuk memulangkan wang mangsa dalam tempoh 60 hari, namun sehingga kini mangsa tidak memperoleh kembali wang berkenaan.

“Justeru, bertindak atas tangkapan di IPD Subang Jaya, kita menangkap semula suspek selepas tempoh tahanan reman empat hari di IPD Subang Jaya tamat hari ini,” katanya. – WD MY