KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Didakwa….. Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menampar seorang remaja lelaki yang merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan wanita bergelar ‘Datuk’, Jun lepas.

Aminul Islam Abdul Nor, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan Muhammad Nuraiman Danish Erwazri, 17 tahun, dengan menamparnya menggunakan tangan di kawasan Lif aras (G) Hotel Sunway Putra, Jalan Putra, di sini, kira-kira 3.30 pagi, pada 17 Jun 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Noor Elynna Hanim Abdul Halim menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan ringan dengan alasan dia menanggung keluarganya.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membenarkan Aminul Islam diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Sept untuk sebutan semula kes. – WD MY