ARAU, DISEMBER 9: ICERD…Kehadiran peserta yang dianggarkan mencecah ratusan ribu pada Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 di Kuala Lumpur hari ini, disifatkan cukup luar biasa.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang turut bersama dalam himpunan tersebut memberitahu, sambutan yang hebat itu membuktikan kebangkitan orang Melayu dan Islam tanpa mengira fahaman politik.

Selain itu katanya, para peserta juga mempamerkan disiplin yang tinggi sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

“Buat pertama kalinya dalam sejarah perhimpunan membabitkan penyatuan orang Melayu ini mendapat sambutan yang cukup hebat. Ini merupakan petanda umat Islam sedang bangkit apabila kesucian agama cuba diusik.

“Saya juga tidak sangka kehadiran peserta yang begitu ramai iaitu jumlah yang jauh besar daripada perhimpunan Bersih sebelum-sebelum ini.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang memberikan kerjasama yang baik. Malah Jabatan Amal juga banyak memainkan peranan membantu melancarkan perjalanan perhimpunan ini termasuk mengutip sampah selepas berakhirnya himpunan berkenaan, “ kongsinya, di sini semalam.

Terdahulu, dalam himpunan aman yang bermula jam 2 petang itu, dianggarkan ratusan ribu peserta dari seluruh pelusuk negeri telah membanjiri perkarangan Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri turut mendoakan seluruh peserta termasuk dari negeri ini agar berhati-hati dalam perjalanan pulang nanti.-MY WD