KUALA LUMPUR, 9 Nov – Pihak pemaju yang sedang giat menjalankan kerja pembinaan di sekitar ibu kota diberi amaran supaya tidak menjadi punca kejadian banjir kilat di ibu negara setiap kali hujan lebat.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) Datuk Normah Malik berkata antara punca utama ibu kota mengalami banjir
kilat disebabkan tapak pembinaan yang tidak mempunyai sistem tebatan banjir yang
baik hingga menyebabkan masalah longkang tersumbat.

“Apabila hujan lebat, longkang yang penuh dengan sedimen dari tapak
pembinaan ini menyebabkan air hujan mudah terkeluar, jadi kawasan itu akan
mengalami banjir kilat.

“Kami boleh kompaun mereka sehingga RM50,000 jika pemaju projek didapati
bersalah menyebabkan keadaan longkang tersumbat,” katanya pada sidang media
berkenaan persediaan DBKL menghadapi banjir dan bencana, di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya pihak pemaju masih berdegil, pihaknya boleh
memberikan arahan untuk menghentikan kerja mengikut Undang-undang Kecil Tanah,
Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Normah berkata semasa musim tengkujuh ini, pihaknya akan meninjau semua
tapak pembinaan dengan kerap bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai agar turut sama memastikan
persekitaran longkang di rumah kediaman masing-masing dalam keadaan baik, kerana
masalah banjir tidak akan selesai selagi masih ada pihak yang tidak mengubah
sikap, membuang sampah ke dalam longkang.

Dalam menghadapi kemungkinan banjir di ibu kota, pihak DBKL membuat
persiapan rapi dengan mengaktifkan operasi bilik gerakannya di Jalan Tun Razak
yang beroperasi 24 jam mulai hari ini, untuk memantau dan menerima maklumat
mengenai kejadian banjir di sekitar ibu kota.

Menurut Normah seramai 45 pegawai dan anggota DBKL berada dalam keadaan
bersiap siaga dengan kelengkapan logistik yang lengkap untuk menjalankan
aktiviti pemindahan dan menyelamat jika perlu.

“Antara kelengkapan logistik adalah 10 bot, sebuah jet ski, dua kren tunda,
20 motosikal dan sebuah water tender (tanker),” katanya.

Di samping itu, pihak DBKL dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur mengenal pasti 50 pusat pemindahan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY