KUALA LUMPUR, 21 Nov – Think City Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) akan meneruskan kajian kedua terhadap komuniti peringkat bawah dalam usaha menceriakan ibu negara.

Pengarahnya, Jia Ping Lee berkata kajian itu akan diadakan dari 1 Dis tahun
ini hingga Januari tahun depan, manakala laporan kajian berkenaan dijangka
diterbitkan pada akhir Mac 2016.

“Kajian kedua ini akan membabitkan Kampung Attap, Brickfields dan Muzium
Negara. Seperti kajian di KL Sentral/Brickfields, ia akan memberi maklumat yang
diperlukan sebagai panduan menceriakan Brickfields dan Kampung Attap.

“Ia juga akan melihat bagaimana kawasan itu lebih mudah dihubungkan serta
senang diakses,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jia berkata kajian itu akan merangkumi pengumpulan maklumat asas daripada
perniagaan, isi rumah, organisasi kerajaan, institut pendidikan dan institusi
bukan berasas keuntungan, selain pandangan komuniti tentang bagaimana kawasan
itu boleh ditingkatkan.

“Semua data yang diperoleh akan digunakan untuk memaklumkan keputusan
perancangan. Semua maklumat kekal sulit dan hanya digunakan bagi memaklumkan
bagaimana DBKL dan Think City dapat bekerjasama menjadikan kawasan itu lebih
selesa diduduki, bermain dan menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata kajian kedua itu akan diketuai Pengarah Perkhidmatan
Perundingan Geografi Sdn Bhd (Malaysia) Dr Matt Benson dengan dibantu 25
pembanci terlatih tempatan.

“Penduduk dan peniaga harus menyalurkan jawapan yang lengkap serta jujur
kerana maklum balas itu akan berguna kepada komuniti di situ,” katanya-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY