KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata pihaknya
akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau peserta
perhimpunan yang dijangka berkumpul seawal 2 petang pada 29 Ogos sehingga
pukul 12 tengah malam 30 Ogos.

500 anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengawal lalu lintas dan keselamatan awam dalam
Perhimpunan Bersih 4.0 yang akan diadakan serentak dengan persiapan dan sambutan
Hari Kebangsaan.

“DBKL akan bantu polis dalam apa jua situasi dan pantau selama 24 jam
khususnya dari segi kawalan trafik, kawalan keselamatan orang ramai dan aset
yang melibatkan DBKL seperti penghalang jalan dan tanaman,” katanya dalam sidang
media di sini, hari ini.

Mhd Amin berkata DBKL telah meminta penganjur agar tidak menggunakan Dataran
Merdeka dan Padang Merbuk sebagai lokasi perhimpunan dan mencadangkan ia
diadakan seminggu selepas Hari Kebangsaan.

“Kedua-dua kawasan itu digunakan untuk persiapan dan raptai sambutan Hari
Kebangsaan…ia juga hanya dikhaskan untuk acara-acara peringkat nasional.

“Bagaimanapun, berdasarkan perbincangan pagi ini dengan penganjur, mereka
tetap mahu mengadakan perhimpunan itu pada 29 dan 30 Ogos… namun kami
difahamkan mereka akan berada di sekitar Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau berkata peserta perhimpunan juga tidak dibenarkan mengganggu
perjalanan Konsert Sehati Sejiwa yang akan diadakan di Jalan Tuanku Abdul
Rahman dari 28 hingga 30 Ogos ini.

Mhd Amin menegaskan sebarang bentuk struktur binaan seperti khemah tidak
dibenarkan dan pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya berlaku.

“Jika mereka didapati menceroboh kawasan Dataran (Merdeka), pihaknya akan
bekerjasama dengan Polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY