KUALA LUMPUR, 8 Okt – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan
melaksanakan beberapa program secara berperingkat dalam usaha menjayakan Dasar
Bebas Penjaja Tepi Jalan pada 2020.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
DBKL sedang menjalankan bancian untuk mengetahui jumlah sebenar penjaja di luar
bangunan termasuk di tepi jalan, dan sejumlah 7,807 orang dibanci setakat ini.

Beliau berkata berdasarkan bilangan yang ada, DBKL akan mengadakan beberapa
program bagi mencapai objektif dasar itu.

“Antara program yang akan dijalankan adalah memindahkan penjaja ke pusat
penjaja yang telah dibina, menaik taraf kawasan penjajaan lebih teratur dan
bersih serta menggalakkan penjajaan menggunakan van atau trak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan
kepada lima persatuan induk penjaja dan peniaga kecil Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Adnan berkata sumbangan yang diberikan setiap tahun itu selaras dengan
keputusan Makmal Bazar Perayaan 2013 bagi meringankan beban pentadbiran dan
kebajikan persatuan-persatuan tersebut.

Beliau berkata selain daripada sumbangan itu, DBKL turut memperuntukkan
RM500,000 kepada 50 penjaja tepi jalan bagi menukar bentuk perniagaan
menggunakan trak.

“DBKL akan memberi sumbangan RM10,000 setiap seorang untuk digunakan sebagai
bayaran deposit kepada pembekal trak selain mengadakan perbincangan dengan Tekun
Nasional bagi memberi pinjaman untuk membayar baki harga trak,” katanya.

Pada majlis itu, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah
Persekutuan (WP) dan Persatuan Peniaga Bumiputera WP masing-masing menerima
RM50,000, manakala Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera WP pula memperoleh
sumbangan RM30,000.

Bagi Persatuan Peniaga Kecil India dan Persatuan Peniaga Cina pula,
masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM20,000.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY