KUALA LUMPUR, 30 Sept – SASAR….. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan sebanyak 10,000 peniaga daripada pelbagai industri mendaftar sebagai rakan dagang Kad Ceria Kementerian Wilayah Persekutuan sehingga hujung tahun ini.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL Datuk Ibrahim Yusoff berkata sasaran berkenaan bagi membolehkan hampir 1 juta warga wilayah yang memiliki kad tersebut menikmati diskaun lebih banyak tempat.

“Setakat ini lebih 6,000 peniaga mendaftar sebagai rakan dagang sejak kad dilancar pada Mac lalu dan kami sentiasa memastikan jumlah ini bertambah, ” katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan dan Sticker Rakan Dagang Kad Ceria Peringkat kawasan Parlimen Kepong.

Ibrahim berkata bagi memastikan sasaran itu tercapai, DBKL turut menawarkan pelbagai insentif menarik kepada peniaga yang mendaftar antaranya diskaun 60 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja dan rebat cukai pintu sehingga RM500.

Katanya peniaga yang mendaftar layak mendapat diskaun 10 peratus untuk sewa gerai penjaja di bawah DBKL selain diskaun saman 70 peratus mengikut jenis kesalahan.

“Kamiharap insentif sebegini akan menjadikan situasi menang-menang antara peniaga dan pelanggan, jika lebih ramai rakan dagang , hasrat untuk ringankan beban kos sara hidup juga akan tercapai,” katanya.

Kad Ceria Wilayah Persekutuan adalah kad diskaun di bawah program Kementerian Wilayah Persekutuan yang membolehkan pemegang kad mendapat diskaun sehingga 70 peratus daripada peniaga berdaftar. – WD MY