KUALA LUMPUR, 20 Mei – Salur……. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyalurkan sumbangan kira-kira RM4 juta kepada Persatuan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Surau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan golongan miskin bandar sebagai persiapan menyambut Ramadan.

Lebih 381 Persatuan Penduduk WPKL yang berdaftar dengan Pertubuhan Malaysia (ROS) dan DBKL, masing-masing menerima RM10,000, manakala sebanyak 56 surau PPR pula menerima RM5,000 setiap surau.

Seramai 410 orang kurang berkemampuan yang juga penghuni PPR akan turut menerima sumbangan itu.

Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis yang diadakan di Institut Latihan DBKL, di sini, hari ini.

Berucap di majlis itu, Tengku Adnan berkata, sumbangan berkenaan bagi membolehkan penduduk menggunakannya untuk menganjurkan program kemasyarakatan sepanjang Ramadan.

“Sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan kami kepada golongan kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar bandar raya bagi menyambut Ramadan,” katanya.

– WD MY