DBKL Tidak Kompromi Dengan Peniaga Luar KL – Tengku Adnan

0
215

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Tidak Kompromi…. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Manasor berkata semua tapak perniagaan yang disediakan di Wilayah Persekutuan adalah untuk warganya dan Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi terhadap peniaga luar yang cuba merampas tapak perniagaan itu.

Beliau berkata untuk berniaga di tapak terbabit, setiap warga Wilayah Persekutuan perlu lulus syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selain perlu melalui cabutan undi.

 

“Semalam (Jumaat), saya telah meminta pihak polis, DBKL dan Angkatan Pertahanan Malaysia untuk membuat pemantauan berterusan bagi mengelakkan peniaga dari negeri lain cuba berniaga di kawasan-kawasan tapak perniagaan di sini.

 

“Jika ianya terjadi lagi, kita akan ambil tindakan segera terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit,” katanya.

Beliau ditemu media selepas penyerahan sumbangan duit raya sempena program Jom Shopping Raya 2017 anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata DBKL telah membuat laporan polis berhubung insiden dan siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Pada program hari ini, seramai 960 kanak-kanak daripada keluarga tidak berkemampuan dari 12 kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima bantuan duit raya serta kupon membeli-belah, masing-masing bernilai RM100 seorang.

 

“Bantuan ini bertujuan mengurangkan beban ibu bapa dalam membeli keperluan persiapan Aidilfitri anak-anak mereka terutamanya bagi yang mempunyai anak ramai,” kata Tengku Adnan yang juga Pengerusi YWP.

 

Beliau berkata tahun ini, YWP memperuntukkan RM6.5 juta untuk pelbagai skim sosial komuniti dan kebajikan antaranya program bantuan bencana, sumbangan kemasyarakatan dan skim bantuan am. – WD MY