BALING, 5 Ogos – Sedia……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menyatakan kesediaan untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan dia memiliki aset bernilai RM230 juta ketika menjawat kedudukan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Ahmad Zahid berkata kesediaan itu demi memperbetulkan persepsi yang timbul susulan kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Saya tak boleh terima kalau orang itu berbohong termasuk isu saya ada RM230 juta…beliau ketika itu minta saya isytihar aset…ketika itu saya Ketua Pemuda UMNO dan tak ada jawatan dalam kerajaan…saya CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sebuah syarikat tersenarai dan Pengerusi tiga lagi syarikat…jawatan lain cuma Pengerusi BSN (Bank Simpanan Nasional) sahaja.

“Kalau betul saya boleh ada harta sebanyak itu, saya kira tak salah untuk berniaga kerana saya bukan pemegang jawatan atau anggota pentadbiran dalam kerajaan.

“Beliau (bekas pemimpin yang menuduh) mahu supaya SPRM siasat dan saya dengan terbuka hati untuk disiasat demi memperbetulkan persepsi dan pembohongan…pada masa sama saya juga minta aset beliau dan keluarga disiasat SPRM,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Baling, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO pada sama mengakui pembohongan bekas pemimpin itu bukan yang pertama, malah dalam isu Memali di Baling juga menyaksikan perkara sama sehingga Tun Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu dijadikan ‘kambing hitam’.

“Mengikut kenyataannya mengatakan ketika peristiwa Memali berlaku, kononnya orang itu tak ada dan berada di China…beliau kata tak ada sebab mahu mengelak diri daripada menerima cemuhan rakyat Baling dan parti PAS.

“Dalam buku tulisan Tun Musa Hitam ‘Frankly Speaking’ mengatakan ketika (peristiwa) Memali berlaku orang itu tak ada di China, tetapi di Malaysia…meletakkan kesalahan pada Tun Musa Hitam dan dikambinghitamkan oleh orang itu…itu hakikatnya.

“Dia terlalu memutarbelikan fakta dan erti kata lain bermaksud berbohong…kalau Tun Musa Hitam kena, saya pun kena banyak kali dan saya bersabar banyak lama,” katanya.

Sementara itu, Ahnad Zahid turut menyatakan kesediaannya menyahut cabaran untuk sumpah laknat bagi membuktikan dirinya berada di pihak yang benar.

“Saya sedia menyahut cabaran Datuk Azeez (Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) untuk sumpah laknat di masjid mana sekali pun…kalau sumpah laknat itu saya dah sanggup, beliau (pihak yang menuduh) mesti juga sanggup buat (sumpah laknat).

“Saya tak mahu mengaibkan, tetapi saya terpaksa jawab kerana orang itu dah bohong banyak kali, tetapi muka dia ‘muka kering,” katanya merujuk cabaran Azeez supaya Mahathir melakukan sumpah laknat berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan Perdana Menteri.

Beliau pada masa sama mengulangi bahawa memiliki bukti rakaman termasuk gambar mengenai pertemuan antara beliau dan bekas pemimpin yang menuduhnya itu, namun tidak menyatakan sama ada sedia mendedahkannya. – WD MY