KUALA LUMPUR, MAC 24:DENDAM….Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa akan bertanding atas tiket DAP dalam pilihan raya akan datang bagi merebut kembali jawatan Perdana Menteri adalah bermotifkan dendam melampaui kepentingan negara untuk kelangsungan politik peribadinya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu akan membahayakan negara sekali gus, memberi gambaran sebenar mengapa Dr Mahathir kembali berpolitik.

Beliau mendakwa ucapan Dr Mahathir ketika pelancaran manifesto pakatan harapan (PH) baru-baru ini, hanya menyentuh sedikit saja mengenai manifesto, dan besar kemungkinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, tidak tahu kandungan manifesto terbabit.

Pada 7 Januari lalu, PH menamakan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Beliau (Dr Mahathir) membuat keputusan menggunakan (manifesto) untuk menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Beliau menyebut nama Najib sekurang-kurangnya 80 kali dalam ucapannya dan membuat tuduhan palsu kononnya Najib melakukan 62 kesalahan sejak dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ismail Sabri juga mendakwa tindakan Dr Mahathir menyerang Najib bukan lagi satu rahsia sebagaimana yang dilakukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, Dr Mahathir selepas tidak lagi berada dalam kabinet, turut melakukan pelbagai gesaan, termasuk menentang pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mahu membatalkan gaji minimum dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), seperti yang didakwanya dalam blog miliknya, ‘Chedet’ pada Ogos 2014.

“Dr Mahathir berang apabila Najib tidak melobi anaknya, Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) untuk jawatan Naib Presiden UMNO, sehingga tewas kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein, iaitu kekalahan kedua buat Mukhriz dalam pemilihan UMNO.

“Kemarahan Dr Mahathir terhadap Pak Lah turut dibantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun kemarahan terhadap Najib tiada kaitan dengan negara tetapi lebih cenderung kepada dendam peribadi.

“Bagaimanapun saya yakin rakyat bijak untuk meletakkan masa depan negara,” katanya. – MY WD