KUALA LUMPUR, NOVEMBER 21: LETAK JAWATAN… Petisyen mendesak Senator P Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini ditandatangani seramai 151,171 orang setakat jam 7.45 malam semalam.

Digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS), petisyen menerusi tandatangan di atas talian Change.org, petisyen itu dilancarkan atas beberapa faktor, antaranya kerana tindakan Waytha Moorthy memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya rakyat beragama Hindu di negara ini ditindas.

Pemimpin Hindraf terbabit juga berkeras mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD); gagal untuk mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini walaupun diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri serta mempunyai latar belakang yang agak kontroversi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berharap petisyen itu dipandang serius oleh kerajaan.

Katanya, beliau bersetuju seperti mana dinyatakan penulis blog Raja Petra Kamaruddin, bahawa di United Kingdom, apabila sesuatu petisyen itu ditandatangani 100,000 orang, ia akan dibawa ke Parlimen.

“Sebagai mana selalu diuar-uar oleh kerajaan PH, mereka selalu berkiblatkan negara Eropah, England dan Amerika Syarikat dalam menyatakan pendirian mereka.

“Jadi, apa salahnya mereka konsisten dan mengambil serius perkara ini, ambil pengajaran dilakukan negara Barat.

“Kalau petisyen sudah ditandatangani lebih 100,000 bermakna ia menunjukkan rakyat Malaysia sebenarnya tidak merestui apa juga budaya yang hakikatnya boleh menjejaskan kestabilan dalam negara yang berbilang kaum dan agama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini hampir keseluruhan cawangan Pemuda UMNO di 191 bahagian sudah membuat laporan berhubung pengkhianatan dan keceluparan Waytha Moorthy yang memburuk-burukkan negara dengan fakta berunsur fitnah.

“Sehingga kini, beliau tidak menarik balik atau memohon maaf berhubungan kenyataannya itu.

“Bahkan masih mempertahankan kenyataannya itu serta menyalahkan kerajaan terdahulu sedangkan apa yang berlaku adalah isu yang membabitkan negara kita keseluruhannya,” katanya.-MY WD