PUTRAJAYA, 30 Jan – REVOLUSI…..┬áPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Dewan perniagaan di negara ini perlu bekerja sebagai satu gerakan kukuh bagi menangani cabaran mendatang terutama melalui Revolusi Perindustrian Keempat (4.0).

Antara 25 negara pengeksport dunia, ahli perniagaan di negara ini tidak boleh berhenti meneroka pasaran baharu, mempelbagaikan produk dan menyediakan peluang pekerjaan baharu untuk generasi muda.

“Dalam pada pemusatan ekonomi dunia bergerak ke timur, ia jelas menunjukkan kepada semua bahawa abad ke-21 sebagai abad Asia akan menjadi kenyataan dan kita mesti menggunakan sepenuhnya saat ini.

“Ini bermakna, kita mesti mengambil peluang terhadap Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China, yang berpotensi untuk mencipta platform terbesar bagi kerjasama ekonomi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam “Future Begins Tonight” di Seri Perdana, malam tadi.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir; Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (NCCIM), Tan Sri Ter Leong Yap serta kepemimpinan dewan perniagaan dan organisasi perniagaan tempatan.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha kerajaan menyediakan pelbagai program bagi mengembangkan perniagaan dan keusahawanan di Malaysia, kerajaan juga sentiasa mencari jalan untuk menyediakan insentif baharu, latihan dan peluang untuk semua rakyat Malaysia.

“Pelaburan langsung asing yang diterima Malaysia menyediakan pemindahan pekerjaan dan kemahiran, selain meningkatkan taraf kehidupan jutaan keluarga.

“Kita turut mengalu-alukan pelabur dari mana sahaja dan saya boleh memberitahu anda, negara di seluruh dunia juga sangat gembira apabila Malaysia melabur di negara mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan inisiatif kerjasama DPMM serta NCCIM melalui Strategi Dewan Global serta Pelan Induk Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi Pembangunan Modal Insan Tenaga Kerja Kebangsaan 2018-2025.

Perdana Menteri turut menerima hadiah seekor kucing jantan baka Parsi Eksotik bernama Sugar daripada Kelab Pencinta Kucing Malaysia. – WD MY