KUALA LUMPUR, 27 NOV – KECOH…… Sidang Dewan Rakyat malam ini, kecoh dengan pertikaman lidah yang berlarutan lebih 20 minit antara wakil kerajaan dan pembangkang.

Ia berlaku sebaik loceng Dewan Rakyat dibunyikan selama dua minit pada kira-kira jam 9.15 malam, selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memohon Speaker, Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof, membuat undi belah bahagi bagi mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berikutan masalah korum.

Ketika itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, baru selesai menggulung RUU berkenaan di peringkat jawatankuasa.

Permohonan Ismail Sabri itu dipersetujui Mohamad Arif dan sejurus itu, wakil pembangkang meminta Bentara Dewan mengira bilangan wakil kerajaan dan pembangkang.

Pada masa sama pertikaman lidah berlaku antara beberapa wakil rakyat kerajaan termasuk Cha Kee Chin (PH-Rasah) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang berada dalam dewan dengan pembangkang.

“Perdana Menteri pun dah tegur, jangan makan gaji buta,” jerit Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kepada wakil kerajaan.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula berkata; “TPM (Timbalan Perdana Menteri) pun nak disabotaj ka?… Jelutong sabotaj TPM ni.”

Pada ketika itu, Rayer membalas; “Siapa nak sabotaj?”

Pertikaman lidah turut membabitkan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang berulang kali memekik; “28 orang saja dari Pakatan Harapan, jangan nak tipu pula, apa lah nak tipu, kira pun nak tipu.”

Rayer kemudian meminta Mohamad Arif menangguhkan Sidang Dewan selama 10 minit, sebelum Speaker itu mengumumkan bilangan wakil rakyat adalah seramai 32 orang bersetuju berbanding 28 yang tidak.

Pada jam 9.25 malam, loceng Dewan Rakyat dibunyikan sekali lagi sebelum undian kedua bagi rang undang-undang sama menunjukkan 45 wakil rakyat bersetuju manakala 28 sebaliknya.

Kekecohan terus berlaku antara wakil kerajaan dan pembangkang selepas itu termasuk Rayer mengherdik pembangkang dengan mengatakan pembangkang tidak tahu mengira dan berkata; “UMNO penipu, MCA penipu dan BN penipu.”

Terdahulu, Yeoh ketika menggulung RUU itu berkata, kerajaan dalam peringkat kajian memperluaskan Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) kepada suami yang tidak bekerja serta golongan isteri bermadu.

Beliau menjelaskan, kajian itu perlu dibuat secara menyeluruh kerana i-Suri buat masa ini masih di fasa sumbangan secara sukarela.

“Memang ada permintaan supaya suami yang menjadi ‘house husband’ turut menerima skim ini, namun kementerian masih di peringkat kajian untuk melaksanakannya,” katanya ketika menjawab celahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) yang mencadangkan supaya golongan suami turut ditawarkan skim berkenaan.

Menjawab celahan Noraini mengenai status isteri yang bermadu, Yeoh berkata, perkara itu turut dalam perhatian kementeriannya.

“Ya, ada permintaan daripada suami dan juga persoalan untuk kategori isteri nombor kedua, ketiga atau keempat. Ini semua isu teknikal dan kita masih mengkajinya,” katanya. – WD MY