KUALA LUMPUR, DISEMBER 19: JAGA…Meskipun gembira melihat bekas teman serumahnya, Sasqia Dahuri bertemu jodoh, pelakon Zahirah MacWilson mengakui, sebak memikirkan kini mereka terpaksa berjauhan.

Zahirah berkata, mereka tinggal bersama sejak tiga tahun lalu selepas berkenalan ketika ditawarkan membintangi drama, Mencintaimu.

“Ketika berjauhan dengan keluarga, Sasqia umpama kakak yang sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan saya.

“Banyak kenangan yang kami lalui bersama, malah saya ingat betapa seronoknya kami berkongsi snek dan mi segera apabila lapar ketika tengah malam.

“Alhamdulillah, dia kini sudah bertemu jodoh dan saya berharap suaminya akan menjaganya dengan baik, serta membahagiakannya hingga ke akhir hayat,” katanya.

Zahirah berkongsi ucapan penuh emosi itu ketika menghadiri majlis resepsi Sasqia dan ahli perniagaan asal Singapura, Muhammad Asyraff Khan Baharudin Khan di ibu negara, Ahad lalu.

Hadir ditemani Aiman Hakim Ridza, Zahirah mengakui, biarpun berat terpaksa berpisah dengan rakan baiknya itu, kebaikan Sasqia akan tetap tersimpan utuh di sudut hatinya.

“Saya berdoa rumah tangga mereka akan dilimpahi kebahagiaan dan Sasqia sentiasa gembira di samping insan yang disayanginya,” katanya.

Sementara itu, Sasqia berkata, dia mengenali Zahirah ketika pelakon filem Bulan Dan Pria Terhebat itu baru memulakan langkahnya dalam bidang seni.

“Zahirah ditemani ibunya ketika perbincangan sebelum penggambaran Mencintaimu bermula. Memandangkan dia sendirian, ibunya memutuskan supaya Zahirah tinggal bersama saya.

“Mungkin kerana satu kepala, kami cepat mesra. Hubungan saya dengan keluarga Zahirah juga sangat rapat.

“Jika keluarga atau sanak-saudara Zahirah datang ke ibu negara, pasti mereka akan menginap di rumah kami,” kata Sasqia.-MY WD