REMBAU:DIA… Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan Dr S Streram daripada PKR yang gagal menghantar borang penamaan calon pada Sabtu lalu kerana tiada pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak datang untuk mengambil pas berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata dakwaan lelaki yang ingin bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu kononnya dia cuba mendapatkan pas adalah tidak benar.

“Itu tuduhan palsu. Dia (Dr Streram) memaklumkan pergi meminta pas itu tetapi tidak dapat. Bagaimanapun, rakaman CCTV membuktikan dia tidak pergi pun minta pas itu,” katanya menerusi mesej video yang dimuat naik menerusi Facebook di sini, hari ini.

Sabtu lalu, penyandang DUN Rantau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, secara rasmi diumumkan menang tanpa bertanding apabila Dr Streram gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Sri Rembau, di sini.

Berikutan itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, menuduh Khairy bersekongkol dengan Mohamad atas tindakan SPR yang menghalang Dr Streram memasuki pusat berkenaan kerana tiada pas SPR.

Khairy berkata, peguamnya sudah diarah mengambil tindakan selanjutnya selepas tempoh yang diberi supaya Rafizi menarik balik tuduhan jahat itu tidak diendahkan.

Katanya, dakwaan Rafizi itu adalah tuduhan besar dan beliau insiden berkenaan adalah pencetus kepada gelombang fitnah oleh pembangkang dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Khairy berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tersebar fitnah kononnya seramai 40,000 pengundi warga Bangladesh dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengundi Barisan Nasional (BN), namun terbukti palsu.

“Jelas pembangkang buat tuduhan untuk mengelirukan rakyat dan pengundi. Kes di Rantau ini adalah cetusan pertama untuk menimbulkan kemarahan rakyat.

“Sudahlah Rafizi, saya akan jumpa saudara di mahkamah. Saya nak hentikan budaya fitnah yang saudara sangat gemari,” katanya.-MY WD