AYER KEROH, 8 DIS – TERASA….Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekretariat tidak boleh mengawal ucapan setiap perwakilan yang berbahas pada Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Katanya, sebagai ketua parti, beliau hanya boleh memberi nasihat dan terpulang kepada perwakilan untuk memberikan ucapan pada sesi perbahasan.

Malah, beliau menegaskan, perwakilan setiap negeri yang mengambil bahagian perbahasan dipilih oleh PKR negeri dan bukannya oleh sekretariat kongres.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Foto Reuters

“Kita tidak boleh kawal, kita hanya boleh nasihat jangan ada kenyataan yang boleh menyinggung atau menyebut nama-nama (pemimpin tertentu).

“Tetapi, (kalau) sampai tak boleh tegur macam mana? Mereka tegur (apabila) tidak datang mesyuarat, (soal) disiplin. Yang mana kita boleh tegur saya sudah masukkan dalam ucapan dasar,” katanya kepada media.

Mengenai ucapan dasarnya yang memetik kisah ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’ yang dikatakan sebagai punca sekumpulan perwakilan dan pemerhati ‘mesra’ Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar dewan, Anwar berkata, ucapannya mengaitkan ‘Si Kitul’ adalah berpandukan pada sejarah.

Ditanya adakah istilah ‘Si Kitul’ membuatkan Mohamed Azmin terasa, Anwar menegaskan, itu adalah masalah pemimpin itu sendiri.

“Eh, kata sejarah Melayu apa kena mengena dengan Si Kitul. Dia terasa, itu masalah dia,” katanya. – WD MY