KUALA LUMPUR, 29 Dis – JANGKA….  20 menteri dan timbalan menteri dari 20 negara dijangka membentangkan pernyataan negara masing-masing pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di Putrajaya, 5 hingga 6 Januari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), negara berkenaan termasuk Arab Saudi, Australia, Britain, Perancis dan Indonesia.

Dialog bertajuk ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’ adalah forum berprofil tinggi untuk sesi perbincangan ilmiah berhubung isu keselamatan antarabangsa.

PISD dianjurkan KDN dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-lslami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Arab Saudi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri akan menyampaikan ucap tama pada 6 Januari.

Menurut kenyataan itu, empat sidang pleno akan berlangsung mencakupi tema Islam sebagai wadah kesederhanaan dan keselamatan; Bersama menentang keganasan; Peranan agama dalam menyemai nilai kesederhanaan serta Membanteras keganasan secara kebijaksanaan dan kemanusiaan.

PISD dijangka dihadiri 1,000 peserta tempatan dan luar negara ,membabitkan pegawai kanan kedutaan dan pesuruhjaya tinggi luar negara di Kuala Lumpur, NGO, ahli akademik, pegawai kanan kerajaan dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.

Dialog antarabangsa itu bermatlamat mengetengahkan dan mempromosi Malaysia sebagai sebuah negara moden dan progresif, yang berada di barisan hadapan dalam membanteras keganasan dan ideologi ekstremisme.

Semua hasil perbincangan PISD dijangka akan menjadi teras pada kerjasama secara berterusan dalam menangani dan membanteras keganasan menggunakan kesederhanaan dan tanpa kekerasan.

PISD akan menjadi penanda aras kepada persidangan antarabangsa pada masa depan mengenai keganasan dan Malaysia akan terkehadapan dalam pembangunan idea mengenai kesederhanaan. – WD MY