KUALA LUMPUR, NOVEMBER 11: BERHABIS… Membelanjakan RM6,000 untuk kek berupa karakter Lion King dan Little Pony, pasangan Zamarul Hisham dan Diana Rafar tidak sedikit pun rasa ralat asalkan dua permata hati kesayangan gembira pada majlis hari jadi yang dianjurkan.

Tidak lokek berbelanja, Zamarul dan Diana merealisasikan hasrat anak sulung, Kashfi Haikal yang genap lapan tahun dan adiknya yang berusia setahun, Kayla Reysha untuk mengadakan parti hari jadi bertemakan fantasi ala Disneyland di rumah baharu pasangan itu di Shah Alam, semalam.

Kek Lion King berharga RM4,800 dan Little Pony (RM1,200) mencuri perhatian tetamu apatah lagi majlis meriah dengan telatah kanak-kanak yang cukup menggemari tema fantasi.

Diana berkata, Kashfi yang lahir pada 29 Oktober, cukup menggemari dunia fantasi dan Disneyland.

“Kashfi yang mahu tema ini dibuat… Dia suka kartun Lion King. Jadi, kek pun dia mahu mengikut karakter singa itu.

“Kayla yang lahir pada 22 Ogos, suka Little Pony… Semuanya dipenuhi. Zamarul pula tak lokek berbelanja untuk anak tersayang. Sejak kami kahwin, dia tidak suka apa yang dibuat ditaja orang lain,” katanya.

Diana berkata, dia dan suami sepakat menganjurkan majlis hari jadi untuk dua anak tersayang serentak selepas rancangan awal menyambut kelahiran Kayla tergendala.

“Ketika itu, ibu sakit teruk malah sampai ke tahap kritikal akibat gigitan serangga hingga bengkak badan. Ibu koma seminggu selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital,” katanya.

Diana berkata, selepas keadaan ibu pulih, barulah mereka sepakat mengadakan majlis hari jadi untuk Kashfi dan Kayla, apatah lagi Kashfi yang tidak sabar hendak meniup lilin.

“Jadi, tak mahu peningkan kepala, saya dan suami anjurkan majlis hari jadi serentak… Dapatlah kami jimat kos,” katanya.

Pada sebelah pagi, majlis doa selamat untuk ibu, Rasimah Abd Rahman dan tahlil sempena menduduki rumah baharu, dianjurkan Diana dan suami.

“Apa yang lebih utama, hendak tengok ibu saya kembali sihat dan dapat menjejakkan kaki di rumah baharu ini.

“Rasa berdebar sangat nak tengok ibu terus panjang umur. Melihat keadaannya sakit, cukup kritikal. Ibu diuji secara mengejut.

“Namun, untuk ibu bertahan hingga ke hari ini adalah sesuatu yang ajaib,” katanya.-MY WD