KUALA LUMPUR, MEI 14:DIGI…DiGi.com Bhd (Digi) memperuntukkan perbelanjaan modal sehingga RM181 juta atau 12.2 peratus daripada pendapatan perkhidmatannya pada tahun ini untuk meningkatkan keupayaan rangkaian serta liputannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albern Murthy, berkata syarikat telekomunikasi itu akan memberikan fokus dalam memajukan rangkaian evolusi jangka panjang 4G LTE dan LTE Advance masing-masing kepada 88 peratus dan 57 peratus.

Beliau berkata, pelaburan itu merangkumi perluasan rangkaian fiber ke seluruh negara melebihi 8,200 kilometer.

“Selain itu, suku pertama tahun ini juga, kumpulan mengeluarkan semula jalur spektrum 2100Mhz untuk tempoh 16 tahun sehingga 1 April 2034 dengan yuran sekali bayar RM118.4 juta dan yuran tahunan tetap pada RM50 juta setahun.

“Digi juga mencatatkan peningkatan pengguna aktif MyDigi sebanyak 2.5 juta dengan peningkatan urus niaga melalui aplikasi sebanyak 19.2 juta,” katanya selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Digi di sini, hari ini.

Mengenai prospek, Murty berkata, Digi dijangka meningkatkan keberkesanan operasi dan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang kukuh.

Digi mencatatkan prestasi kukuh pada permulaan tahun kewangan 2018 disumbangkan oleh peningkatan positif EBITDA selain keberkesanan operasi.

Pada suku pertama tahun ini, pendapatan perkhidmatannya berkembang pada kadar 0.7 peratus tahun ke tahun kepada RM1.483 bilion.

Ia didorong oleh pertumbuhan pendapatan internet yang kukuh pada suku berkenaan daripada prestasi prabayar yang kukuh serta penjanaan hasil daripada perniagaan prabayarnya.-MY WD