DUBAI, 21 MAC – SERANGAN…. Lelaki yang bekerja untuk sebuah syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipecat dan dihantar pulang ke negara asal, hari ini, selepas meraikan kematian mangsa serangan pelampau berkulit putih di New Zealand.

Bagaimanapun, syarikat keselamatan terbabit, Transguard di bawah Emirates Group tidak mendedahkan nama, warganegara serta jawatan kakitangan terbabit.

“Minggu lalu, ada kakitangan Transguard memuat naik komen di akaun Facebook peribadi meraikan serangan masjid di Christchurch,” menurut kenyataan syarikat itu, semalam.

Pengarah Urusan Transguard, Greg Ward berkata pihaknya tidak sesekali bertolak ansur dengan kakitangan yang menyalah gunakan media sosial.

“Kita mempunyai dasar toleransi sifar terhadap perbuatan menyalah gunakan media sosial dan akibatnya, seorang kakitangan diberhentikan serta merta dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya. – WD MY