KUALA LUMPUR,JUN 6: NAFI… Dira Abu Zahar menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan untuk bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO pada pemilihan parti itu akhir bulan ini.

Ia susulan laporan beberapa akhbar dan spekulasi di media sosial bahawa beliau dikatakan ada menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO.

Dira atau nama sebenarnya Khaidirah iaitu anak bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Abu Zahar Ithnin itu menafikan kenyataan bahawa beliau akan bertanding untuk jawatan yang menjadi sebutan itu.

“Buat masa ini, apa yang tersebar bukan yang rasmi daripada saya. Nanti akan ada kenyataan rasmi akan dimaklumkan,” katanya ringkas.

Selain Dira, turut menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut jawatan tertinggi sayap Puteri itu adalah Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Terdahulu, Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung sebelum 30 Jun ini, bagi membuka jalan kepada pemimpin lain membawa perubahan kepada UMNO.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, keputusan dibuat bagi menumpukan kepada usaha memberi khidmat kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili mereka di Parlimen.-MY WD