KUALA LUMPUR, 11 Feb – TARIKAN….. Pembukaan pasaraya menjual barangan elektronik berjaya menarik 1,000 pengunjung memenuhi DirectD Digital Mall sejak pukul 10 malam semalam bagi mendapatkan barangan digital dengan potongan 50 peratus sempena pembukaan pusat membeli belah itu di Kajang.

Menurut Ketua Rekaan Digital dan Pemasaran DirectD Khairul Ezwan Rais, pihaknya tidak menjangka sambutan hebat dalam kalangan pengunjung yang datang untuk mendapatkan tawaran promosi tersebut di cawangan keempat syarikat itu.

“Sejak pukul 10 malam sehingga pagi ini orang ramai berpusu-pusu mendapatkan kupon promosi yang disediakan sebanyak 1,382 keping kepada pengunjung terawal.

“Sebanyak 28 produk ditawarkan dengan potongan 50 peratus termasuk telefon pintar Honor 8, Asus Zenfone 3, dan Vivo Y25,” katanya.

Tambah Ezwan, berdasarkan sambutan luar jangka berkenaan, pihaknya percaya sasaran untuk mendapatkan lebih 3,200 pengunjung sepanjang tahun 2018 ke DirectD Digital Mall dapat dicapai.

“Kami juga optimis dengan memasuki pasaran baharu di selatan Selangor meliputi kawasan Kajang yang rata-rata penduduknya Melayu mampu meningkatkan permintaan jualan gajet terutama telefon pintar,” katanya. – WD MY