KUALA LUMPUR, 28 Jan – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menawarkan diskaun 20 peratus kepada pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) sempena musim perayaan Tahun Baru Cina nanti.

Ketua Eksekutif Kumpulan, PROLINTAS, Datuk Ir Zainudin A Kadir, berkata pemberian diskaun berkenaan membabitkan pengguna kenderaan kelas satu yang membuat bayaran secara elektronik (ETC), bermula dari jam 6 pagi pada 8 Februari 2016 dan berakhir jam 6 pagi hari Selasa, 9 Februari ini.

“Pemberian diskaun itu adalah sebagai satu program tanggungjawab sosial korporat PROLINTAS. Ia juga sebagai langkah menggalakkan pengguna lebuh raya bagi membuat bayaran secara elektronik terutamanya bagi pengguna GCE memandangkan sistem itu akan dilaksanakan di lebuh raya berkenaan pada Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata PROLINTAS juga akan mengagihkan pek limau mandarin kepada pengguna bertuah AKLEH, GCE dan LKSA, pada 4 dan 5 Februari ini. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY