KUALA LUMPUR, 31 Mac – Para pemegang saham Amanah Saham
Bumiputera 2 (ASB2) akan menerima dividen sebanyak 7.75 sen seunit bagi tahun
kewangan berakhir 31 Mac, 2015.

Ini membabitkan agihan pendapatan tahunan sebanyak 7.5 sen seunit serta
agihan pendapatan khas 0.25 sen seunit.

Ia juga adalah agihan pendapatan pertama ASB2 sejak dilancarkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 2 April, 2014.

Ketika mengumumkannya hari ini, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun
Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata jumlah keseluruhan pembayaran bagi agihan
pendapatan ASB2 adalah RM92 juta yang melibatkan 2.06 bilion unit yang
dilanggani kira-kira 103,546 pelabur.

“Pihak Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) gembira kerana masyarakat bumiputera
terbukti menyedari peri pentingnya pelaburan biarpun berdepan cabaran ekonomi
serta kos sara hidup,” katanya pada sidang media pengumuman agihan pendapatan
itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah
Che Othman.

Ahmad Sarji turut menyifatkan ASB2 sebagai unit amanah baharu yang paling
cemerlang dalam tempoh langganan setahun, berbanding produk lain ditetapkan
harganya yang dilancarkan ASNB, sebelum ini.

“Tempoh tahun kewangan pertama ini amat mencabar bagi ASB2 berikutan
ketidaktentuan dalam pasaran saham tempatan selain persekitaran ekonomi dunia
yang goyah,” katanya.

Ini berikutan kejatuhan mendadak harga minyak mentah global, penyusutan
nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, ketegangan politik di Eropah
Timur dan ketidakseimbangan ekonomi global, khususnya di Asia dan negara
membangun lain.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY