IPOH, 30 Mei – Cuba Perdaya…… Doktor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan cuba memperdaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kononnya telah menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap dua lelaki yang memohon lesen vokasional (JPJ L8) Februari lalu.

Tertuduh, L Samuel Kumar, 59, dituduh melakukan perbuatan itu pada 14 Februari lalu di Klinik Parit Buntar, Jalan Pasar Pekan Lama, Parit Buntar dekat sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 10.15 pagi hingga 3.40 petang.

Dia dituduh memperdaya JPJ, bahawa dia sudah melakukan pemeriksaan fizikal terhadap Mohd Firdaues Azizan, 34, dan Hasrol Hissam Osman, 41, melalui borang JPJ L8 dan dengan sengaja mendorong JPJ memperbaharui lesen berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan dia boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim, S Indera Nehru manakala tertuduh diwakili peguam Sudesh Singh.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen kes dan membenarkan tertuduh dijamin ikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan. – WD MY