KUALA LUMPUR, DISEMBER 27: DOMINO… Nampaknya kata ganti diri nama pertama dan kedua prosa klasik Melayu adinda dan kekanda terus menjadi usikan sejak ‘Warkah Dari Cordoba Untuk Nurul Izzah’ menjadi tular pada Hari Krismas lalu.

Terbaharu rangkaian makanan segera Domino’s Pizza Malaysia turut menggunakannya dalam iklannya bagi memperkenalkan menu terbaharu, Butterscoth Bread & Butter Pudding.

“Warkah Dari Domino’s Untuk Adinda. Kehadapan Adinda yang kukasihi. Kekanda kini ada di Domino’s. Mereka ada Butterscoth Bread & Butter Pudding baharu yang adinda inginkan.

“Kekanda tak boleh makan tanpa memikirkan adinda. Jadi kekanda akan membawa pulang Butterscoth Bread & Butter Pudding ini untuk adinda. Sekian, Yang Benar, Kekanda yang setia,” tulis iklan yang dipaparkan di Facebook rasmi Domino’s.

Menu baharu itu dijangka akan menemui pelanggan pada 29 Disember ini. Iklan tersebut ternyata menarik perhatian ramai warganet

“Domino’s Pizza Malaysia nak makan tapi nanti takut tak boleh tidur pulak,” kata Izahir Stegan

“Admin patut surat tu ada cop pos dari Cordoba,” komen Mukriez Ebrahim Mansor.

“Berapa harga kekanda Domino lepas SST, mencanak macam Datuk Bendahara KFC jugak ke?” tanya Afeeq Ab Jalil.

‘Warkah Dari Cordoba Untuk Nurul Izzah’ dikarang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa ketika dalam perjalanan dari Cordoba ke Madrid di Sepanyol dan ditujukan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dalam warkah tersebut di mana Dr. Mujahid menggunakan kata ganti diri sebagai kekanda berharap Nurul Izzah yang dipanggil adinda untuk meneruskan perjalannya di dalam dunia politik yang selama ini memperjuangkan reformasi untuk memperkukuh Malaysia.-MY WD