KUALA LUMPUR, 14 Nov – IKRAR……. Golongan artis yang bercita-cita untuk bergelar usahawan namun kurang berpengalaman serta berdepan kekangan modal, kini boleh mendapatkan bimbingan serta bantuan melalui Dewan Perniagaan Artis (DPA).

Badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan atas inisiatif Presidennya, Datuk Shahrul Nizam Yunos itu bertujuan menghimpunkan golongan selebriti yang mempunyai minat serta kesungguhan untuk bergelar usahawan yang berjaya dan berintegriti supaya mendapat bimbingan yang betul,seterusnya mampu bergiat lebih serius dalam perniagaan berskala besar.

Pengerusi DPA, Diana Danielle Danny Beeson berkata, demi masa depan yang cerah, golongan artis bukan hanya perlu fokus kepada bidang seni semata-mata, sebaliknya mereka perlu mempunyai pelan sandaran yang lebih terjamin.

“Saya seronok melihat ramai rakan artis bergelar usahawan malah ada yang sudah mampu memiliki premis perniagaan.

“Oleh itu, kami ingin mengajak lebih ramai lagi selebriti yang berminat untuk bergelar usahawan menyertai Dewan Perniagaan Artis. Pelbagai ilmu dan bimbingan perniagaan yang lengkap akan dikongsikan supaya golongan artis memiliki ilmu yang cukup untuk bergelar usahawan, seterusnya mampu menjalin kerjasama sama ada dengan sektor awam malahan juga pihak swasta,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“Setiap ahli yang menyertai badan ini diwajibkan mengangkat sumpah memerangi rasuah kerana kita tidak mahu imej DPA tercalar sekiranya wujud konflik berkepentingan,” kata Diana.

Setakat ini sembilan selebriti sudah pun mendaftar sebagai ahli tetap iaitu Diana Danielle, Farid Kamil, Bront Palarae, Hazama, Hafiz, Akim, Stacy, Wan Hanafi Su dan Soffi Jikan.

Tidak hanya menyediakan bimbingan ilmu, bagi melancarkan lagi usaha ini, bantuan dana dan modal turut disediakan kepada ahli bagi membolehkan mereka menjalankan projek yang berjaya diperolehi.

“Memang menjadi hasrat presiden DPA, Datuk Shahrul Nizam ingin melihat para artis mampu menguruskan perkara yang luar dari bidang seni. itulah juga penyebab tertubuhnya badan ini,” kata Diana.

“Bagi memastikan mereka yakin dengan DPA, diperingkat permulaan kita akan bantu mereka menjalankan perniagaan yang memfokuskan projek kerajaan di dalam sektor pembinaan dan pembekalan.

“Setelah golongan selebriti ini berjaya dibimbing, kita akan memastikan mereka menjadi mentor kepada artis yang baru menceburi bidang keusahawanan. Ini bersesuaian dengan objektif DPA yang ingin melahirkan usahawan selebriti yang berintegriti dan mampu menjadi contoh kepada muka baru,” katanya.

Meluahkan harapannya terhadap usaha ini, Diana berharap inisiatif penubuhan DPA mampu melonjakkan nama golongan selebriti dalam bidang perniagaan supaya mereka dapat menyumbang kembali kepada industri kesenian tempatan. – WD MY