KUALA LUMPUR 4 Dis – DPA….. Dewan Perniagaan Artis dan Selebriti Malaysia (DPA) yang dilancarkan hari ini bertujuan membantu golongan artis yang bercita-cita bergelar usahawan namun kurang pengalaman serta kekangan modal.

DPA yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan atas inisiatif presidennya, Datuk Shahrul Nizam Yunos yang menghimpunkan golongan selebriti yang mempunyai minat dan kesungguhan untuk bergiat lebih serius dalam perniagaan berskala besar.

Seramai sembilan selebriti sudah mendaftar sebagai ahli tetap seperti Farid Kamil, Bront Palarae, Hazama, Hafiz, Akim, Stacy, Diana Danielle, Wan Hanafi Su dan Soffi Jikan.

Turut hadir Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Samat Kasah serta Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Surayati Ibrahim.

Rizal Mansor menasihati golongan artis dan selebriti di tanah air ini agar jangan terus rela diperlakukan sebagai alat kepada pembangkang.

Rizal memberikan contoh yang jelas apa telah berlaku pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu di mana terdapat artis dipergunakan untuk berceramah sahaja tetapi kemudiannya nasib mereka langsung tidak dipedulikan.

“Saya juga buat teguran terbuka kepada seorang artis yang telah merudum popularitinya dek kerana perangai sendiri yang tidak berdisiplin dan terlibat dengan gejala-gejala negatif.

“Kini, terdesak untuk meraih semula populariti, beliau cuba membuat posting-posting politik yang beliau sendiri tidak tahu apa yang ditulis.

“Dapatkan fakta yang betul sebelum menulis dan tulislah dalam keadaan WARAS!!” , kata Rizal.

Justeru beliau turut menyarankan agar artis tersebut berhenti dari menggunakan pengaruh sebagai artis untuk memesongkan pemikiran rakyat negara ini.

“Jangan menjadi perkakasan parti pembangkang yang kini terdesak untuk meraih populariti menjelang PRU ke-14.

“Malah parti itu nak buat Mesyuarat Agung pun tak mampu bagaimana nak diharapkan untuk mentadbir negara?, soalnya lagi.

Presiden Team Salute Malaysia itu turut menyarankan kepada golongan artis yang menjadi ‘public figure’ agar kreatif menggunakan pengaruh untuk memulakan atau memperkembangkan perniagaan, jika berkurangan tawaran dalam bidang seni.

“Bekerjalah sedaya upaya dalam dunia seni tempatan yang cukup luas bidangnya, kalau dah tak laku jadi pelakon, cuba pula bidang lain atau setidak-tidaknya guna pengaruh untuk mulakan serta kembangkan perniagaan.

“Daripada menghabiskan masa membaca portal berita atau blog pembangkang, lebih baik mencari maklumat untuk mendapatkan pelbagai bantuan khususnya untuk orang bangsa sendiri dan masyarakat seni. – WD MY