KUALA LUMPUR, 9 OGOS – GANTUNG…..  Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) digantung pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkuatkuasa 31 Julai lalu.

Notis penggantungan pendaftaran DPMM itu dikeluarkan ROS dan ditanda tangani Pendaftar Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim pada tarikh berkenaan.

Menerusi notis itu, pendaftaran DPMM mungkin bakal dibatalkan jika pertubuhan itu gagal mengemukakan sebab memuaskan kepada ROS.

Bagaimanapun, notis itu tidak menyatakan kesalahan atau pelanggaran peraturan dilakukan DPMM.

“Bagi menjaga kepentingan DPMM daripada terus melanggar peraturan pertubuhan, maka diperintahkan semua kegiatan pertubuhan ini digantung mulai 31 Julai 2019,” mengikut notis berkenaan.

Salinan notis penggantungan pendaftaran DPMM itu turut diserahkan kepada ROS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertarikh 1 Ogos lalu.

DPMM mengalami konflik dalaman serius apabila 18 orang bekas ahlinya, termasuk timbalan presiden bertindak menggunakan nama pertubuhan itu secara haram dan tidak sah.

Ia termasuk kegiatan menggunakan kepala surat DPMM dan membuat perjumpaan dengan seorang menteri kanan di Putrajaya sebagai ahli Majlis Eksekutif Dewan (MED) itu sedangkan keahlian dan jawatan mereka terlucut pada November lalu.

Tahun lalu, Timbalan Presiden DPMM , Syed Hussein Alhabshee dan 17 ahli menyaman Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir dan Setiausaha Agungnya, Don Nazwin Don Najib berhubung wang RM5 juta yang sepatutnya diperuntukkan Pejabat Perdana Menteri kepada kumpulan itu sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.

Seramai 18 individu terbabit mendakwa wang itu tidak dimasukkan ke akaun DPMM, sebaliknya disalurkan ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang tanpa kelulusan Majlis Eksekutifnya. – WD MY