SHAH ALAM, SEPTEMBER 1: Tempoh 21 hari berkempen ditetapkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, adalah cabaran baharu yang disambut positif oleh dua calon parti bertanding.

Malah, ia dilihat sebagai perkembangan baik kerana calon dapat mengenali pengundi dengan lebih dekat, sekali gus berpeluang merangka strategi lebih sistematik bagi meraih undi penduduk di kawasan terbabit.

Perkara itu diakui calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar, dan pesaingnya, Dr Halimah Ali daripada PAS, kepada Bernama, baru-baru ini, selain berkongsi cabaran dihadapi mereka sepanjang tempoh berkempen setakat ini.

Menurut kedua-dua calon itu, tempoh berkempen bermula 18 Ogos lalu dan berakhir jam 11.59 malam 7 September ini, memudahkan mereka mengenal pasti masalah dihadapi penduduk di sekitar kawasan DUN Seri Setia.

Dr Halimah pula, walaupun tempoh berkempen itu agak memenatkan, ia tidak mematahkan semangat juangnya untuk mengisi jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia.

“Ini adalah kali pertama tempoh berkempen PRK diadakan lebih daripada dua minggu. Biasanya, dilakukan selama (atau kurang) dua minggu tetapi perkara ini tidak menjadi isu kepada saya kerana saya sudah biasa,” katanya yang juga bekas ADUN Selat Klang selama dua penggal (2008 hingga 2018).

Bekas anggota EXCO kerajaan Selangor itu turut bersetuju tempoh tiga minggu berkempen memberi ruang kepada beliau dan parti diwakilinya menjalankan lebih banyak program serta bersuai kenal dengan penduduk berbilang kaum di setiap kawasan DUN berkenaan.

“Banyak aktiviti kita (PAS) boleh buat, saya juga dapat berjumpa pelbagai orang sambil mendengar aduan dan masalah dihadapi mereka (penduduk di DUN Seri Setia),”. – MY WD